Selasa, 21 April 2009

'Kalah buat United lebih gagah'

REAKSI Welbeck (jersi merah) selepas dibentes keras pemain Everton dalam saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley, kelmarin yang berkesudahan seri 0-0. Tapi Everton mara selepas menang penentuan penalti 4-2.

LONDON: Sir Alex Ferguson menegaskan keputusannya menurunkan skuad lemah ketika kekalahan separuh akhir bola sepak Piala FA kepada Everton, kelmarin akan memberi ganjaran masa hadapan jangka panjang buat Manchester United.

Ferguson, yang skuadnya akan kembali diterajui kesebelasan utama bagi pertarungan Liga Perdana menentang Portsmouth minggu ini, mendedahkan keputusannya melakukan rombakan besar dibuat selepas melihat kesan padang Wembley ke atas pemain Arsenal dan Chelsea dalam saingan separuh akhir pertama.

Keseluruhannya, pengurus itu melakukan lapan pertukaran kepada kesebelasan utamanya yang mengalahkan FC Porto empat hari sebelumnya dan menurunkan barisan yang dipenuhi dengan pemain muda dan simpanan.

Tetapi dia bertegas akan memiliki kembali semua pemain utamanya menentang Portsmouth, esok (awal pagi Khamis) termasuk mangsa kecederaan pergelangan kaki, Wayne Rooney.

Dia mendakwa prestasi pasukannya dalam perlawanan seri 0-0 yang akhirnya ditentukan melalui sepakan penalti memberi harapan untuk masa hadapan, dan percaya kegagalan United untuk merangkul lima gelaran tidak akan menggugat harapan mereka menjulang Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.

"Kami sudah memilih pemain selepas perlawanan Rabu lalu, tetapi apabila saya melihat keadaan padang kelmarin, saya tidak mahu permainan berlanjutan ke masa tambahan dengan barisan terkuat kami," kata pengurus itu. "Kami perlu mengambil keputusan berani dengan pemain muda berbekalkan kekuatan, keyakinan dan kematangan. "Saya berpuas hati dengan persembahan mereka. Everton tidak mencipta satu peluang pun dalam perlawanan. Saya tidak nampak Everton akan dapat menjaringkan gol. "Ia memang mengecewakan apabila anda kalah separuh akhir Piala FA tetapi kami perlu memilih mereka kerana kami berdepan beberapa perlawanan penting Rabu, Selasa, Rabu, Selasa. "Perkara paling bagus ialah tiada sebarang keraguan bahawa pemain muda ini boleh bermain dalam sebarang perlawanan. Bagi saya, Frederico Marcheda dan Danny Wellbeck begitu cemerlang. Ferguson menafikan bahawa peluang menyapu bersih semua mahkota kejuaraan secara realistik mampu dilaksanakan